LATARBELAKANG MPKS


SEBELUM 1958, Pihak Berkuasa Tempatan adalah ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Negeri. Semua pegawai dan ahli-ahli dilantik oleh Kerajaan Negeri. Hasil dipungut dan diserah kepada Perbendaharaan Negeri dan perbelanjaan adalah ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri. Demikianlah Alor Setar ditadbirkan sebelum itu. Penguasa Tempatan semasa itu dikenali sebagai ‘SANITARY BOARD’.

Selepas 1958, pentadbiran bandar Alor Setar telah diberi taraf swatantra kewangan dengan mentadbirkan kawasan seluas 4.6 batu persegi. Bangunan Pejabat Majlis Bandaran pada masa itu ialah berjenis rumah kedai deret dua tingkat di Jalan Langgar di sebelah Pawagam Cathay. Pilihanraya bagi Pihak Berkuasa Tempatan telah diadakan dalam tahun 1963 untuk memilih ahli-ahli Majlis. Seramai 18 orang ahli telah dipilih. Ketua-ketua Jabatan Teknik dari Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perancangan Bandar dan Kampung, Jabatan Kesihatan telah dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaran Alor Setar untuk membantu dan memberi nasihat. Pentadbiran seperti ini berlanjutan sehingga 31hb. Disember,1970, apabila Kerajaan Negeri mengambilalih pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Setar pada 1hb. Januari,1970, dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah memegang kuasa penuh untuk mentadbirkannya. Semasa di bawah pentadbiran Kerajaan, kawasan telah diperluas kepada 11.7 batu persegi. Ahli-ahli Majlis Bandaran ketika itu dilantik oleh Kerajaan terdiri daripada Ketua-ketua Jabatan yang berkaitan dan orang-orang yang didapati boleh membantu menjayakan pembangunan Bandar Alor Setar.

Pentadbiran Majlis Bandaran Alor Setar telah disusun semula menurut Akta 124, Akta Kerajaan Tempatan (Peruntukan-peruntukan Sementara), 1973 pada 1hb. Ogos,1975, dengan memasukkan kawasan Lembaga Bandaran Kota Setar, iaitu Simpang Empat, Kota Sarang Semut, Kuala Kedah, Pendang, Bukit Junun, Tanah Merah, Tokai dan Majlis Tempatan Anak Bukit, Langgar dan Pokok Sena ke dalam kawasan pentadbiran satu Pihak Berkuasa Tempatan dan dinamakan Majlis Kerajaan Tempatan Kota Setar. Pentadbiran begini berlanjutan sehingga 28hb. Febuari, 1976.

Mulai 1hb. Mac, 1976, Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Kedah telah disusun semula d bawah Akta 174, Akta Kerajaan Tempatan 1973 dan telah mewujudkan Majlis Daerah Kerajaan Tempatan Kota Setar dengan kawasan pentadbiran meliputi seluruh Daerah Kota Setar.

Oleh kerana bandar Alor Setar ialah Ibu Negeri maka Kerajaan telah menaikkan tarafnya kepada Majlis Perbandaran mulai 1hb. Februari, 1978, selaras dengan kehendak Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan, 1976, di mana hanya 2 jenis Pihak Berkuasa Tempatan diwujudkan di Malaysia iaitu Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

[Menu Utama][Pentadbiran][Menu Bahagian]